By: Fahad Ijlal Nizam and Qarrem Kassim
Dalam suasana geopolitik global yang semakin tegang dan meruncing, dunia kini berdepan dengan perang dagang seperti antara Amerika Syarikat (AS) dengan China. Lebih membimbangkan, wujud pula bentuk baharu pertarungan ekonomi, iaitu perang rantaian bekalan (supply chain) yang semakin ketara, khususnya dalam industri unsur nadir bumi (REE).
Dalam konteks tersebut, Malaysia memiliki kedudukan strategik untuk memainkan peranan sebagai rakan dagang neutral serta pembekal bahan mentah kepada pasaran dunia. Oleh itu, timbul persoalan utama tentang kemampuan Malaysia untuk muncul sebagai hab global baharu industri REE dan prasyarat yang perlu dipenuhi untuk mencapai matlamat tersebut.
Kepentingan Strategik REE
REE merujuk sekumpulan 17 elemen kimia dalam siri lantanida, termasuk scandium dan yttrium. Di Malaysia, kebanyakannya tergolong dalam kategori tanah liat serapan ion (IAC). Transformasi bahan ini daripada gumpalan tanah kepada komponen bernilai tinggi dalam teknologi moden bermula dengan aktiviti perlombongan sebelum melalui keseluruhan rantaian nilai industri pembuatan.

Rajah 1 Peta rantaian nilai industri REE.
Sebelum digunakan dalam komponen seperti magnet, bateri kenderaan elektrik, peranti elektronik dan misil berpandu, REE mesti melalui proses transformasi menyeluruh dalam rantaian nilainya. Oleh itu, dari sudut kepentingan strategik, REE menjadi elemen penting dalam pelbagai sektor global, khususnya pembangunan industri teknologi tinggi, pertahanan dan peralihan dunia ke arah ekonomi hijau.
Pada masa ini, China menguasai hampir 85 peratus pasaran eksport global REE dan kekal sebagai pemain utama dalam bidang metalurgi serta pembuatan magnet dan bateri. Namun begitu, landskap geopolitik yang semakin terpecah telah menyebabkan rantaian bekalan global REE menjadi rapuh dan berisiko tinggi. Kebergantungan yang tinggi terhadap satu sumber bagi proses penapisan peringkat pertengahan (midstream) turut menimbulkan risiko struktur terhadap kestabilan bekalan dunia.
Peluang Malaysia dalam Pasaran Global
Nilai pasaran global REE diunjurkan meningkat kepada RM35 bilion menjelang tahun 2032 didorong oleh kemajuan teknologi dan perubahan kedinamikan geopolitik. Malaysia kini berada pada kedudukan yang signifikan dalam rantaian bekalan global dan menyumbang sehingga 11 peratus daripada jumlah eksport dunia. Pada tahun 2023, Malaysia membekalkan sebanyak 13 peratus daripada keperluan pasaran REE di AS.
Keadaan tersebut meletakkan Malaysia pada landasan yang kukuh untuk memperluas pengaruh serta memperkukuh kedudukan dalam pasaran REE global. Berbanding dengan beberapa negara serantau yang turut menaruh minat terhadap industri ini, Malaysia mempunyai kelebihan daya saing tersendiri menerusi kehadiran syarikat Lynas.
Hampir keseluruhan sumbangan REE Malaysia digerakkan oleh operasi Lynas di Gebeng, Pahang yang menjadi pemangkin kepada pelibatan negara dalam rantaian bekalan REE global. Kemudahan pemprosesan dan kepakaran yang dimiliki oleh Lynas membuka peluang besar untuk Malaysia berkembang sebagai hab pemprosesan REE baharu serta mengukuhkan peranan pada pentas ekonomi dunia.
Selain kepentingan geopolitik, sektor REE juga menawarkan potensi ekonomi yang sangat besar. Industri ini dianggarkan bernilai RM747.2 bilion berdasarkan Pelan Transformasi Industri Mineral Negara (NMITP) 2021–2030. Pembangunan sektor ini berpotensi mewujudkan sekitar 4,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi dalam bidang kejuruteraan proses, metalurgi, logistik dan penyelidikan bahan termaju.
Bagi memastikan limpahan manfaatnya dapat dinikmati oleh rakyat tempatan, pelaburan dalam program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang berteraskan kemahiran REE perlu diperkasakan. Pendekatan ini bukan sahaja membina tenaga kerja mahir tempatan, malah memastikan pelibatan rakyat dalam industri bernilai tinggi.
Dari segi pembangunan wilayah, Pantai Timur dijangka menjadi penerima manfaat utama hasil perkembangan industri REE. Berdasarkan kajian Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), hampir 70 peratus daripada 16.2 juta tan REE bukan radioaktif terletak di empat negeri utama, iaitu Terengganu (44.4 peratus), Kelantan (15.8 peratus), Perak (10.4 peratus) dan Kedah (7.8 peratus).

Rajah 2 Peratusan simpanan REE di Malaysia mengikut negeri.
Dengan sumber mineral yang melimpah serta kedudukan geografi yang strategik, negeri yang memiliki simpanan REE berpotensi mengalami transformasi struktur ekonomi daripada industri bernilai tambah rendah kepada industri bernilai tambah tinggi. Peralihan ini bukan sekadar perubahan sektor semata-mata, tetapi turut mencerminkan peluasan ekonomi serantau melalui pertumbuhan industri baharu yang berteraskan teknologi dan inovasi
Pembangunan industri REE juga dilihat seiring dengan pelaksanaan projek infrastruktur mega seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka beroperasi sepenuhnya dalam tempoh dua tahun akan datang. Laluan ini merentasi kawasan yang kaya dengan simpanan REE, sekali gus memudahkan pengangkutan bahan mentah ke lokasi pemprosesan dan mengurangkan kos operasi perniagaan.
Pada masa yang sama, ECRL berfungsi sebagai penghubung strategik yang menyatukan sektor huluan (upstream), pertengahan seperti kemudahan Lynas dan hiliran (downstream). Penyepaduan ini dapat melancarkan koordinasi keseluruhan rantaian nilai REE yang sebelum ini berselerak di pelbagai negeri. Kecekapan rantaian bekalan yang semakin meningkat dijangka mewujudkan kelebihan daya saing pada peringkat antarabangsa, sekali gus menarik minat pelabur utama untuk menubuhkan kilang dan menjalankan operasi mereka di Malaysia.
Dari sudut pelaburan antarabangsa, Jepun seharusnya menjadi antara sasaran utama Malaysia. Syarikat Jepun merupakan antara segelintir pemain utama dalam industri hiliran yang masih bertahan kukuh di rantau Asia Timur. Kehadiran pelabur Jepun amat signifikan kerana mampu melengkapkan keseluruhan rantaian nilai industri REE di Malaysia bermula daripada perlombongan pada peringkat huluan sehingga pembuatan produk akhir. Kerjasama strategik sebegini bukan sahaja meningkatkan keupayaan industri tempatan, malah memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pemprosesan REE serantau.
Cabaran Tadbir Urus dan Penyelarasan Polisi
Untuk merealisasikan potensi penuh industri REE, terdapat tiga cabaran utama yang perlu diberi perhatian serius. Pertama ialah isu perhubungan dan pembahagian kuasa antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan. Sebagai contoh, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah meluluskan prosedur operasi standard perlombongan REE pada tahun 2023, khususnya bagi negeri Perak. Walau bagaimanapun, sehingga kini, pelaksanaannya setakat ini hanya terhad di Perak dan Negeri Sembilan.
SOP tersebut masih belum diterima pakai secara menyeluruh di negeri lain berkemungkinan disebabkan oleh keperluan penyesuaian mengikut pertimbangan dan kepentingan masing-masing. Walaupun usaha penyelarasan antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan sedang dipertingkatkan, hala tuju dan matlamat yang berbeza-beza masih menjadi cabaran utama. Perbezaan dasar ini menyukarkan penyelarasan undang-undang, sekali gus melambatkan pembangunan industri dan menjejaskan keyakinan pelabur terhadap kestabilan ekosistem pelaburan negara.
Cabaran kedua ialah ketiadaan pemain utama pada peringkat hiliran. Kelemahan ini menyebabkan Malaysia kekal sebagai negara pemprosesan pertengahan, manakala aktiviti bernilai tinggi seperti pembuatan produk akhir masih dikuasai negara lain seperti Jepun. Tanpa pelaburan kukuh dalam sektor hiliran, potensi nilai tambah yang dapat dijanakan dalam negara akan terus terhad dan Malaysia belum mampu dianggap sebagai hab REE sebenar di rantau ini.
Cabaran ketiga yang memerlukan perhatian khusus ialah aspek kelestarian alam sekitar. Bagi memperkukuh industri REE, kerajaan menerbitkan garis panduan perlombongan yang lebih bertanggungjawab. Antara tumpuan utama dalam garis panduan tersebut termasuklah galakan penggunaan kaedah pelarutan secara “in-situ” (In-Situ Leaching) yang dianggap lebih mesra alam kerana tidak memerlukan pengorekan tanah secara besar-besaran. Kaedah ini membolehkan landskap semula jadi dan litupan hijau dikekalkan tanpa gangguan besar.
Namun begitu, pendekatan tersebut tetap berisiko. Antara kebimbangan utama termasuklah kemungkinan pencemaran bahan kimia atau kebocoran sisa perlombongan dalam sumber air setempat, terutamanya apabila aktiviti dijalankan berhampiran kawasan sensitif. Situasi menjadi lebih mencabar sekiranya bilangan anggota penguat kuasa tidak mencukupi, sekali gus menyukarkan pemantauan aktiviti perlombongan haram yang masih berleluasa. Tanpa kawalan yang rapi, sebarang kesilapan atau kecuaian dalam proses perlombongan boleh membawa kesan negatif terhadap ekosistem dan komuniti setempat.
Pengukuhan Tadbir Urus
Sudah sampai masanya Malaysia mengambil langkah strategik dan menyeluruh untuk mengatasi kekangan yang masih membantutkan perkembangan industri REE secara mampan dan mesra alam. Langkah reformasi ini perlu dilaksanakan dengan keberanian politik serta kesepakatan antara semua pihak berkepentingan bagi memastikan sektor REE berkembang secara bertanggungjawab dan memberikan pulangan optimum kepada negara.
Kerjasama antara semua pihak berkuasa mesti digerakkan secara lebih tersusun, terutamanya dalam aspek penyelarasan undang-undang dan peraturan. Tindakan bersepadu ini berpotensi memperkukuh asas tadbir urus industri yang lebih teguh dan berdaya tahan. Penyelarasan sedemikian bukan sahaja dapat mengurangkan kerenah birokrasi, malah membantu pelabur memahami rangka peraturan tempatan dengan lebih jelas, seterusnya meningkatkan keyakinan terhadap persekitaran pelaburan Malaysia.
Bagi menangani kekangan ketiadaan pemain utama pada peringkat hiliran, Malaysia wajar meneroka bentuk kerjasama serantau yang lebih strategik bersama-sama negara yang aktif dalam sektor REE. Hubungan sedia ada antara Lynas (Australia) dengan pemain hiliran dari Jepun menunjukkan wujudnya potensi besar untuk membina ekosistem yang lebih lengkap.
Tumpuan strategik perlu diberi kepada usaha menarik pelaburan syarikat Jepun dalam segmen hiliran di Malaysia. Kerjasama dua hala yang berpaksikan pemindahan teknologi, pelaburan modal dan perkongsian kepakaran akan mampu memperkukuh keseluruhan rantaian nilai industri REE negara. Langkah ini juga dapat memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab utama REE di rantau Asia Tenggara, sekali gus mengurangkan kebergantungan pada pemain luar.
Sebagai langkah ke hadapan, Malaysia perlu lebih proaktif bagi melindungi alam sekitar di tengah-tengah pembangunan industri REE. Keutamaan perlu diberi kepada usaha memperkukuh kapasiti pemantauan dan penguatkuasaan di lapangan. Penambahan sumber manusia dan kepakaran teknikal dalam agensi seperti Jabatan Alam Sekitar amat penting, khususnya di kawasan berisiko tinggi yang terlibat dengan aktiviti perlombongan.
Selain itu, penggunaan teknologi pemantauan masa nyata dan penyertaan masyarakat tempatan dalam melaporkan aktiviti perlombongan dapat meningkatkan tahap ketelusan dan akauntabiliti. Langkah ini walaupun tidak mampu menghapuskan sepenuhnya risiko terhadap alam sekitar, namun tetap merupakan titik tolak penting bagi memastikan pembangunan industri REE dilaksanakan secara lebih berhemah dan lestari.
Masa Hadapan REE
Secara keseluruhannya, cabaran yang dihadapi bukanlah penghalang yang tidak mampu diatasi, tetapi isyarat jelas bahawa Malaysia perlu menggandakan usaha untuk melakar dasar yang lebih berani, inklusif dan berpandangan jauh. Dengan sumber semula jadi yang melimpah, kedudukan geostrategik yang menguntungkan, serta kehadiran pemain industri sedia ada, Malaysia berada pada ambang peluang emas yang jarang muncul dalam sejarah pembangunan ekonomi negara. Namun begitu, peluang tanpa tindakan hanyalah sekadar harapan yang tidak membawa hasil.
Sekiranya langkah pembaharuan dapat dilaksanakan secara menyeluruh, konsisten dan berasaskan tadbir urus yang baik, tidak mustahil Malaysia akan muncul sebagai hab REE yang mampan dari segi alam sekitar, serta berdaya saing pada peringkat global.
Masa hadapan industri REE bukan hanya tentang pertumbuhan dan keuntungan ekonomi, tetapi turut mengandungi amanah besar terhadap kelestarian bumi dan kesejahteraan generasi akan datang. Dunia kini sedang menantikan siapa yang mampu memimpin dalam era REE dan Malaysia tidak boleh terus kekal hanya sebagai pemerhati.
This article was first published in Jendela DBP on 17 December 2025


