Thomas Daniel was quoted in Buletin TV3, 19 June 2026

By Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Peningkatan kedudukan Malaysia dalam Penarafan Daya Saing Dunia bukan sahaja mencerminkan kestabilan ekonomi negara, malah memperlihatkan kepentingan Malaysia dalam rantaian bekalan global.

Ketua Ahli Ekonomi Kumpulan AmBank, Firdaos Rosli, berkata Malaysia mempunyai persekitaran yang aman dan mudah diramal berbanding banyak negara lain, meskipun berdepan pelbagai polemik politik domestik.

“Dari perspektif makroekonomi, Malaysia antara ekonomi sedang pesat membangun yang mempunyai kadar hasil bon yang stabil berbanding negara lain.

“Ketika ketegangan global memuncak pada Mac lalu, hasil bon 10 tahun kita sudah tentu bergerak, tetapi ia tidaklah bergerak antara 10 hingga lebih 20 mata asas seperti yang berlaku pada ekonomi lain. Jadi, dalam erti kata lain, kita boleh dikatakan sebagai aset selamat (safe haven) berbanding ekonomi lain,” katanya secara maya pada Siri Tinjauan Pasaran AmBank BizDIALOGUE: Fokus Asia Barat, hari ini.

Malaysia dilaporkan melonjak ke tangga ke-15 dalam Penarafan Daya Saing Dunia (WCR) 2026 oleh International Institute for Management Development (IMD) berbanding tangga ke-23 tahun lalu.

Bagaimanapun, Firdaos berkata kelebihan itu tidak semestinya menjamin kemasukan modal asing dalam skala besar kerana tumpuan global ketika ini lebih terarah kepada kecerdasan buatan (AI), teknologi serta ekonomi maju.

“Ia bukan hanya melibatkan Amerika Syarikat, malah Korea Selatan dan Taiwan yang mempunyai kedudukan kukuh dalam industri semikonduktor.

“Malaysia sememangnya mempunyai kelebihan menerusi ekosistem semikonduktor yang berkembang pesat di Pulau Pinang, namun sama ada syarikat, modal akan beralih ke sini, terdapat pasaran lain yang lebih besar serta menawarkan penilaian yang lebih menarik kepada pelabur,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Dasar Luar Negara Institut Strategik dan Pengajian Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Thomas Daniel berkata kekuatan ekonomi Malaysia banyak bergantung kepada keterbukaan perdagangan serta kedudukannya dalam rantaian bekalan global.

“Jika kerajaan dan sektor industri boleh menyelaraskan usaha untuk mengekalkan kelebihan daya saing negara serta memastikan Malaysia terus menjadi komponen penting dalam pelbagai rantaian bekalan global, Malaysia berada di landasan yang tepat,” katanya.

Jelas beliau, cabaran ketika ini adalah bagaimana Malaysia dapat terus berlibat urus dengan semua rakan dagang utama termasuk Kesatuan Eropah (EU), AS, China, India, Jepun dan Korea Selatan yang masing-masing sedang membentuk blok perdagangan, piawaian dan rantaian bekalan tersendiri.

This article first published in Buletin TV3, 19 June 2026

- Advertisement -