Thomas Daniel was quoted in Harian Metro, 1 April 2026
By Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
Kuala Lumpur: Pendekatan Malaysia mengutamakan diplomasi bagi menangani isu kapal milik syarikat negara terkandas di Selat Hormuz, Iran adalah langkah terbaik ketika ini.
Pakar Dasar Luar Negara Institut Strategik dan Pengajian Antarabangsa Malaysia (ISIS), Thomas Daniel berkata, pendekatan diplomatik serta perbincangan dengan Tehran dilihat membuahkan hasil.
Beliau berpendapat tiada keperluan yang menekan bagi Malaysia untuk menghantar aset ke perairan itu bagi mengiringi kapal-kapal yang terkandas di Selat Hormuz.
“Pendekatan ketika ini yang mengutamakan ikatan diplomatik dan perbincangan sudah optimal, realistik dan dilihat mampu membuahkan hasil.
“Tidak seperti misi anti lanun yang pernah dilaksanakan sebelum ini, situasi kini berbeza, jika kita menghantar aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke zon perang yang aktif,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.
Menurutnya, zon perang berkenaan yang membabitkan beberapa negara bakal menimbulkan pelbagai risiko tambahan yang dikhuatiri memberi kesan negatif kepada Malaysia.
Terdahulu Harian Metro melaporkan tiada aset atau pasukan keselamatan diatur gerak bagi mengiringi kapal-kapal milik Malaysia yang terkandas di Selat Hormuz, Iran ketika ini.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman berkata, setakat ini tiada keperluan untuk menghantar pasukan atau aset ke perairan berkenaan namun bersedia jika diperlukan.
This article first published in Harian Metro, 1 April 2026


