Shahriman Lockman was quoted in Benar News.

by Ray Sherman & Iman Muttaqin Yusof, 6 January 2023

Perdana Menteri baharu Anwar Ibrahim masih belum menyatakan dasar luar negara, dengan penganalisis berpendapat langkah itu amat perlu disegerakan bagi menunjukkan bagaimana Malaysia dapat melindungi kepentingan nasional semasa mengemudi isu persaingan Amerika Syarikat-China di rantau itu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersalaman dengan jemaah masjid selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Baru di Kuala Lumpur, 9 Disember 2022. (S. Mahfuz/BenarNews)

Penolong Profesor Jabatan Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Lee Pei May berkata, Anwar masih belum menyatakan secara jelas dasar luar negara, dan Perdana Menteri itu dilihat akan meneruskan tradisi sebelum ini.

“Saya fikir polisi luar negara yang jelas sangat diperlukan untuk memahami hala tuju kerajaan. Pentadbiran Anwar berkemungkinan meneruskan tradisi dasar luar Malaysia yang mengambil pendirian neutral dan menjalinkan hubungan baik dengan semua negara.

“Malaysia juga harus melihat kepentingan negara dalam meneruskan persahabatan dengan kuasa besar di mana di bawah kepimpinan Anwar, Malaysia akan lebih terbuka kepada pelaburan daripada China dan juga negara Barat, ” kata Lee kepada BenarNews.

Pengarah Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa Malaysia Shahriman Lockman pula berkata adalah tidak menghairankan melihat kerajaan mengambil masa lama untuk menjelaskan dasar luar negara, yang seolah diketepikan dan dilihat tidak menjadi keutamaan Perdana Menteri kerajaan baharu itu.

“Itu sudah jelas menunjukkan kepada anda bagaimana dasar hubungan luar negara tidak betul-betul diutamakan, bukan sahaja oleh kerajaan baharu tetapi juga oleh kerajaan terdahulu.

“Dan, tidak perlu juga mengatakan bahawa garis utama dasar luar negara kekal tidak berubah kerana ia seperti diketepikan, dan ini bukan kali pertama kerajaan Malaysia bertindak sedemikian. Pada 2018 semasa Perdana Menteri Mahathir Mohamad memimpin negara, beliau mengambil masa dua minggu untuk menamakan seorang menteri luar,” katanya kepada BenarNews.

‘Fokus utama hal domestik’

Dalam pada itu, semasa satu program bual bicara yang disiarkan di stesen televisyen milik kerajaan pada malam Jumaat, Anwar menyatakan bahawa fokus utama kerajaan sekarang adalah berhubung dengan hal-hal domestik.

“Saya telah sebut di Parlimen, belum pernah dalam perubahan pimpinan, minat antarabangsa itu berubah. Jadi kita harus berperanan dalam soal nasib rakyat Palestin ataupun isu antarabangsa lainnya tetapi fokus saya peringkat awal ini adalah isu domestik, ekonomi negara, kos sara hidup rakyat, soal pekerjaan, perumahan rakyat. Itu yang saya nak tumpukan sepenuhnya.

“Kalaupun saya terpaksa ke Indonesia, Brunei dan lain-lain negara jiran. Ini kerana ingin pertahankan semangat kejiranan seperti yang telah dibuat oleh tiap pimpinan baharu negara yang melawat dan menzahirkan persahabatan antara negara,” kata Anwar.

Anwar adalah Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 dilantik ke jawatan itu pada 24 November lalu selepas berjaya mendapatkan sokongan dari bekas seterunya, Barisan Nasional, serta blok parti politik dari Sabah dan Sarawak untuk membentuk Kerajaan Perpaduan setelah gabungan Pakatan Harapan berjaya mendapat kerusi Parlimen terbanyak semasa Pilihan Raya Umum ke-15 lepas.

Pada sidang media pertamanya selepas upacara mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, Anwar berkata hubungan dengan China adalah penting dan sama penting seperti hubungan Malaysia dengan negara ASEAN yang lain serta Eropah.

“Hubungan dengan China harus diperkuatkan. Hubungan dengan negara-negara lain, ASEAN dan Eropah juga sama penting,” kata Anwar pada sidang media itu.

Jaga kepentingan negara

Dalam pada itu, Penganalisis Kanan Polisi Antarabangsa di Institut Strategik dan Pengajian Antarabangsa Malaysia (ISIS) Thomas Benjamin Daniel berpendapat adanya Perdana Menteri dan Kabinet yang baharu tidak bermakna Malaysia menjadi pro-AS atau China.

“Malaysia perlu terus mengukuhkan hubungan dengan Beijing dan Washington walaupun adanya ketidaksefahaman atau pertikaian di antara dua kuasa besar itu.

“Soalannya di sini, bagaimana Malaysia mengemudi di antara kedua-duanya dalam masa yang sama menjaga kepentingan negara serta memaksimumkan keuntungan strategik kita,” katanya kepada BenarNews sambil menambah kata bahawa negara akan terus mengambil jalan tengah apabila berdepan dengan AS dan China.

China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia manakala AS ketiga terbesar di belakang Singapura.

Pada Oktober lalu, dagangan China dengan Malaysia bernilai RM41.5 bilion (AS$9.4 bilion) manakala dengan AS pula RM23.9 bilion (AS$5.4 bilion).

Lee pula menambah dengan berkata: “jika melihatkan kepada keadaan geografi, saya mengambil maklum bahawa China adalah jiran yang penting buat Malaysia dan adalah mustahak bagi negara yang mahukan kejiranan mesra yang boleh membawa kepada kemakmuran, keamanan dan kestabilan.”

‘Untungkan Beijing’

Namun begitu, seorang lagi penganalisis mempunyai pendapat yang lebih ekstrem dengan menyatakan bahawa sekiranya Anwar lambat menerangkan polisi luar negara, ia mungkin akan menguntungkan China.

“Beijing akan mempunyai lebih banyak peluang untuk menggunakan situasi ini dan menguatkan lagi penguasaan yang sedia ada di Malaysia dan di Laut China Selatan serta menguji tahap reaksi kerajaan baharu.

“Ini berlaku jika kerajaan mengambil pendekatan tidak ketara dan samar-samar (dalam isu polisi luar negara) lebih lama,” kata Collins Chong Yew Keat, pakar dasar antarabangsa dari Universiti Malaysia, kepada BenarNews.

Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai tuntutan bertindih terhadap beberapa bahagian di Laut China Selatan. China, Vietnam, Filipina, Taiwan dan Brunei juga membuat tuntutan yang sama.

China, menurut Chong, akan turut menggunakan peluang itu untuk mendekati rakyat Malaysia.

“Beijing akan menggunakan waktu ini untuk meningkatkan lagi tindakan mereka dalam usaha memikat hati pemegang taruh di Malaysia seperti rakyatnya, rakan niaga, komuniti, rakan dalam bidang komersil, media dan sebagainya melalui naratif secara langsung dan lebih bersifat positif berkaitan peranan dan imej negara itu,” kata Chong.

Dasar luar Malaysia secara rasminya adalah berdasarkan prinsip neutraliti dan mengekalkan hubungan yang baik dengan semua negara, tidak kira apa juga ideologi atau sistem politik yang diamalkan, dan juga terus membangunkan hubungan dengan negara-negara lain di rantau itu.

Sehingga kini, Malaysia telah menjalinkan hubungan diplomatik dengan lebih 150 negara.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

This article was first published in Benar News, 6 January 2023

- Advertisement -