Walaupun sektor pertanian menyebabkan peningkatan GHG, perubahan iklim turut memberikan ancaman terhadap jaminan keselamatan makanan. Hubung kait ini tidak dapat dielakkan kerana pertanian memerlukan sistem pengairan. Malah pergantungan ini direkodkan seawal 3100 SM hingga 1075 SM dalam lembaran sejarah penduduk Mesir kuno di lembah Nil dan Tigris-Euphrates.
Mutakhir ini, bagi menjamin sistem pengairan yang lengkap, tambahan seluas 1.5 bilion hektar atau 12 peratus kawasan pertanian diperlukan untuk memenuhi permintaan 9.2 bilion penduduk global menjelang tahun 2050.
Senario ini mendesak kepada peningkatan penghasilan makanan sebanyak 60 hingga 70 peratus. Akan tetapi, seandainya amalan pengurusan pengairan kekal seperti sediakala, dunia akan berhadapan dengan 40 peratus jurang kekurangan permintaan dan pembekalan air menjelang tahun 2030.
Bagaimanakah untuk menjamin keselamatan makanan tanpa jaminan bekalan sumber air untuk pengairan? Sistem pengairan yang kian kompleks kesan peningkatan ~4°C suhu global menuntut koordinasi dasar dan pelaksanaan antara sektor air, pertanian, danjaminan keselamatan makanan. Peningkatan suhu 2°C dijangka melibatkan kos adaptasi perubahan iklim antarajulat AS$70 bilion hingga AS$100 bilion. Sekiranya dunia terus merasai bahana peningkatan suhu sehingga 4°C menjelang tahun 2100, berlaku kekerapan fenomena cuaca ekstrem, seperti kejadian hujan lebat, putaran ganas kemarau, banjir mahupun gelombang panas dijangka meningkat. Oleh itu, jalur pengharmonian wajar diberikan perhatian kerana faedah rantaian nilai sektor pertanian terbukti mendatangkan manfaat ekonomi yang bernilai tinggi kepada industri dan masyarakat. Waiau bagaimanapun, usaha pengharmonian akan terhalangjika aspek pengurusan alam sekitar tidak diberikan penekanan yang serius.
Acap kali, dua fenomena kontradiksi, seperti bencana banjir dan kemarau mendatangkan ancaman terhadap negara di rantau Asia dan Pasifik yang amat bergantung pada aktiviti pertanian.
Namun demikian, sekiranya bekalan air untuk pengairan diurus secara cekap, maka manfaat takat ekonorni dapat dinikmati. Lazimnya jatuh bangun produktiviti pertanian diukur berdasarkan Tahap Sara Diri (SSL) sesuatu komoditi. Sebagai contoh, pada tahun 1975, SSL padi Malaysia sebanyak 95 peratus. Ironinya, pada tahun 2015, SSL padi negara merosot kepada 71.4 peratus ekoran kos operasi yang tidak agronomi. Buktinya, pada tahun 2013, sebanyak 80 peratus bekalan beras Malaysia diimport dari Vietnam, Thailand dan Kemboja. Jika diteliti, negara pengeksport mampu menikmati nilai dagangan sehingga AS$1.2 bilion kesan import sebanyak 1267 ribu tan metrik beras Malaysia kerana kecekapan sistem pengairan. Untuk Malaysia mencapai sasaran 100 peratus SSL padi menerusi pertambahan empat kawasan jelapang baharu, wajar menitikberatkan pengurusan bekalan air, seperti amalan di negara jiran yang mengeluarkan makanan ruji tersebut .
Apakah Malaysia bersedia mengurus bekalan air dengan lebih cekap? Sudah tentu tidak, seperti yang berlaku di kebanyakan negara Asia. Di rantau ini, penggunaan air untuk pertanian sekitar 60 hingga 70 peratus, suatu jumlah yang lebih tinggi berbanding dengan kegunaan domestik sekitar lima hingga 15 peratus. Selain itu, purata per kapita kegunaan sumber air yang boleh diperbaharu untuk rantau ini hanyalah 20 521 bilion m3 atau 38 peratus daripada piawaian dunia. Walaupun kedudukan negara Asia kondusif di garis khatulistiwa, corak penggunaan air yang tidak lestari mampu mengancam jaminan keselamatan makanan.
Jangkaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), menjelang tahun 2050, sebanyak 40 peratus penduduk dunia
Permintaan yang tinggi terhadap air bersih menyebabkan air semakin mahal berpunca daripada larian air permukaan yang tinggi. oleh itu, Malaysia yang menerima 2940 mm purata curahan hujan tahunan tidak sewajarnya terleka. Sekiranya kelestarian rizab sumber bekalan air tidak dititikberatkan, maka Malaysia mungkin akan terus bergantung pada import akan menghuni kawasan lembangan yang berhadapan dengan kekurangan air. Di samping itu, penggunaan sumber air bagi tujuan pertanian melangkau kadar isian semula, terutama bagi negara sedang membangun yang bergantung pada sumber air bawah tanah untuk penghasilan tanaman kontan. Situasi ini berlanjutan dan akhirnya menyebabkan konflik agihan air.
Disebabkan nilai tambah per unit air untuk sektor pertanian primer lebih rendah berbanding dengan sektor lain, maka agihan air lazim menyebelahi kawasan bandar, sektor industri, pelancongan dan rekreasi. Sebagai contoh, konflik agihan yang berlaku di sekitar lembangan Sungai Heiha, di barat laut China, berpunca daripada kekurangan limpahan air ke bahagian hilir sungai. Oleh itu, tekanan permintaan air yang tinggi untuk kegunaan input industri menyebabkan sumber air yang dahulunya percuma kini semakin mahal. Perkara ini berlanjutan disebabkan kos pengurusan sumber air semakin meningkat ditambah dengan kealpaan manusia untuk menghargai sumber alam secara lestari.
Malaysia juga tidak terkecuali daripada cabaran ini. Pembandaran meluaskan kawasan tidak telap air dan kesannya 97 peratus kekurangan rizab bekalan air negara bekalan makanan. Keadaan ini sebenarnya menongkah arus kerana banyak negara mulai menekankan konsep kedaulatan makanan dengan memastikan bekalan makanan penduduk tempatan dipenuhi sebelum dagangan dilakukan.
Memetik ucap utama Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi, pada perasmian Persidangan Serantau Asia dan Pasifik ke-33, Pertubuhan Makanan dan Pertanian, "Tanpa keselamatan dan kestabilan serantau, agenda keselamatan dan kedaulatan makanan akan tergugat”.
Oleh itu, alternatif terbaik amalan pertanian kini termasuklah pertanian lestari. Keputusan ini didorong populasi dunia yang semakin meningkat hingga menuntut setiap negara mengutamakan keselamatan makanan penduduknya.
Oleh itu, Malaysia yang lazimnya menerima sebanyak 60 peratus tadahan hujan yang tinggi pada November hingga Januari, harus melakukan langkah yang proaktif sebelum rizab sumber air yang sedia ada berkurangan. Dwimanfaat bakal diperoleh melalui amalan pemuliharaan sumber air menerusi penyediaan infrastruktur penuaian air hujan. Langkah ini berupaya meningkatkan produktiviti pertanian , malah mengurangkan kejadian hakisan tebing sungai.
Tadahan air hujan juga mampu membekalkan air semasa musim kering, manakala semasa musim monsun, tadahan air berupaya mengurangkan kesan banjir yang memusnahkan tanaman pertanian. Walaupun amalan ini dilaksanakan menerusi sistem penuaian air hujan (SPAH), konsep tadahan air hujan ini hanyalah untuk kegunaan domestik. Strategi ini wajar diperluas dalam sektor pertanian walaupun negara ini tidak berhadapan dengan krisis bekalan air. Langkah proaktif ini diyakini sebagai strategi pengurusan sumber bekalan air secara agronomi.
Namun begitu, timbul kegusaran untuk menjalankan aktiviti pengairan dengan menggunakan air yang tidak terawat. Antara kesan buruknya, termasuklah pencemaran hasil pertanian. Potensi pencemaran hasil pertanian kesan penggunaan bekalan sumber air yang tercemar dan residu baja merupakan cabaran yang dapat dikaitkan dengan isu jaminan keselamatan makanan. Pengguna kontemporari semakin cakna akan keselamatan bekalan makanan. Oleh itu, kualiti air yang diperoleh melalui tadahan untuk tujuan pengairan harus ditingkatkan dengan memastikan piawaian kebersihan air dipatuhi.
Strategi untuk mengurangkan risiko pergantungan sumber air untuk pertanian berkembang dengan beralih kepada organisma ubah suai genetik (GMO). Peralihan kepada benih pertanian yang rintang cuaca dan berupaya hidup dalam keadaan kekurangan air merupakan pilihan sektor pertanian kini. Dalam konteks tempatan, varieti benih padi seperti makmur dan MR14 berupaya mengurangkan pertumbuhan rumpai antara 40 hingga 44 peratus melalui pembebasan bio-kimia benih berkenaan. Sungguhpun, penemuan bioteknologi pertanian melalui pengubahsuaian genetik meningkatkan produktiviti tumbuhan, tetapi isu keselamatan makanan seperti ancaman kesihatan dalam jangka masa panjang tidak boleh dipandang ringan.
Untuk bergerak ke hadapan, negara harus mengakui bahawa bekalan sumber air kini kian berkurangan . Fakta ini dapat dilihat dari segi kuantiti air yang semakin berkurangan dan kualitinya yang semakin merosot. Unsur air kini tidak hanya terdiri daripada dua ikatan hidrogen dan oksigen, malah disebabkan amalan pertanian yang tidak lestari, wujud bendasing yang mencemarkan ketulenan sumber air. Di beberapa buah negeri, seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, dan Melaka sumber bekalan air menghampiri takat kritikal yang mampu menjejaskan agihan air untuk pengairan pertanian berbanding dengan kegunaan domestik. Contohnya aras air empangan pernah mencatatkan paras kritikal sebanyak 35 peratus daripada isi padu takungan sewaktu musim kering. Lebih parah lagi, bantuan 22 pam air diperlukan untuk menggumba sebanyak 30 kolam sekitar empangan Sungai Selangor untuk pembekalan air di kawasan Selangor, Kuala Lumpur, dan Putrajaya pada tahun 2015.
Dalam hal ini, adakah "secawan air tawar" mampu memberikan jaminan keselamatan makanan kepada negara? Selain itu, taraf sosioekonomi juga bergantung pada sumber bekalan air mengikut tema Sambutan Air Sedunia 2016, iaitu "Air dan Pekerjaan". Hal ini disebabkan satu bilion manusia yang bekerja dalam sektor pertanian , perikanan, dan perhutanan amat bergantung pada sumber bekalan air. Persoalan ini menuntut jalur pengharmonian pada pelbagai peringkat pentadbiran negara dan kerjasama semua pihak
This article first appeared in Dewan Masyarakat, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) on May 2016.